NEWS
 
Technology Knowledge

AMD perkenal mikroprosesor teras 65 nano

ADVANCED Micro Devices (AMD) akan memperkenalkan beberapa pembaharuan dan teknologi terbaru merangkumi mikroprosesor teras 65 nano meter yang memiliki hayat bateri lebih lama bagi segmen komputer mudah alih.

AMD juga akan memperkenalkan generasi terbaru mikroprosesor empat teras, ‘L3 Cache', ‘hypertransport', pengurusan kuasa dan peningkatan 128 bit bagi stesen kerja dan server manakala untuk komputer peribadi, ia akan memanfaatkan generasi terbaru teras, larger cache dan hypertransport 3.0.

Pengarah Teknologi AMD, Tan See Ghee, berkata dengan memperkenalkan mikroprosesor terbaru itu bagi memenuhi permintaan pengguna yang mahukan komputer peribadi, stesen kerja, server dan komputer mudah alih melaksanakan berbilang tugasan.

Katanya, aplikasi media digital terkini menggunakan pelbagai teras khusus bagi melaksanakan pelbagai tugasan serentak.

" Mereka berkehendakkan prestasi maksimum yang dapat diberikan komputer menerusi inovasi pada cip prosesor," katanya pada sidang media di Subang Jaya, baru-baru ini.

Beliau berkata, AMD bersama rakan teknologinya juga mengambil pendekatan menggalakkan pengeluar peralatan elektronik asli mereka bentuk komputer peribadi yang memiliki prestasi tinggi dan membolehkan pengguna menikmati pengalaman menarik memanfaatkan Windows Vista.

Katanya, pengguna boleh menggunakan teknologi terkini AMD, iaitu AMD64 prosesor dwiteras, ATI Radeon dan kad grafik NVIDIA GeForce serta penyelesaian tanpa wayar Airgo, Atheros dan Broadcom.

" Dengan adanya strategi platform terbuka itu, pengguna akan menikmati lebih nilai untuk pelaburan mereka," katanya.

Tan berkata, AMD akan meningkatkan pasaran komputer saiz kecil kerana ia terbukti memiliki beberapa kelebihan seperti penjimatan kos elektrik, menggunakan sedikit ruang dan tidak menjana haba berlebihan bagi pengguna komputer di rumah.

" Bagi pengguna korporat, komputer yang dimiliki akan dapat menjimatkan bayaran bil elektrik dan menggunakan ruang kecil," katanya.