| PUSAT PEMBANGUNAN MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI (iDEC)

UTeM : Unified Communication (UC)

Ringkasan Artikel

UTeM UC

Dengan lanskap komunikasi yang mengalami perubahan yang begitu pantas, perhubungan pelbagai hala tidak lagi berfungsi secara statik dan tertumpu kepada satu satu jenis medium sahaja. Konsep dunia tanpa batasan yang kini digerakkan dengan Revolusi Industri 4.0 perlu diadaptasi oleh UTeM agar kekal sebagai perintis dan peneraju. Selari dengan kemajuan teknologi terkini, jaringan komunikasi suara tidak lagi bergantung penuh kepada Public Switched Telephone Network (PSTN) dan copper line sebagai medium terbaik dalam komunikasi tetapi jaringan intranet dan Session Initiation Protocol (SIP) telah mula mengambil peranan tersebut.

Malah, perhubungan kini tidak sahaja terkurung hanya dalam ruang lingkup suara, tetapi memerlukan perbincangan secara bersemuka di ruang maya dalam keadaan masa sebenar. Pengguna juga tidak lagi terikat untuk sentiasa berada di meja pejabat malah dengan pengenalan konsep bekerja dan belajar dari mana sahaja pada bila-bila masa juga menjadi faktor perlunya transformasi perhubungan ini dilakukan.

Perubahan teknologi ini bukan sahaja melibatkan perubahan dari sudut kerja, tetapi perubahan nombor telefon utama universiti yang impaknya sehingga ke peringkat global. Maka perancangan teliti telah dipersetujui dan bermula dari September 2017, peralihan penggunaan talian konvensional mula dibuat secara berfasa dan berperingkat. Kempen kesedaran dibuat secara jerayawara dari fakulti ke setiap pusat tanggungjawab dan pemakluman kepada institusi dan masyarakat luar telah dibuat melalui semua sumber media samada melalui mel elektronik, surat menyurat dan media sosial.

Dengan sistem komunikasi yang lebih berkesan, penggunaan UC mula diperluaskan kepada persekitaran akademik. Dengan pengenalan Bilik Perbincangan Maya, viva voce dan perbincangan serta pembentangan dengan pakar dari seluruh dunia dapat dilakukan dari dalam Universiti pada bila-bila masa, ringkas, teratur dan selesa. Perbualan dengan rakan sekerja dari luar negara hanya memerlukan akses telefon pintar yang mempunyai aplikasi khas UTeM UC yang dihubungkan ke rangkaian tanpa wayar. Digabungkan dengan perlaksanaan dan penggunaan eduroam, kini penyelidik UTeM tidak perlu lagi risau tentang kos atau impaknya pada jejak karbon alam sekitar apabila ingin menghubungi rakan sejawat dan teman-teman di tanah air.

 

Biodata Pembentang :

Mohd. Isa Mohd. Dom merupakan Ketua Pegawai Maklumat (CIO) di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang berperanan mengawal tadbir urus penggabungan tiga (3) Pusat Tanggungjawab iaitu Pusat Perkhidmatan Pengetahuan dan Komunikasi, Perpustakaan Laman Hikmah dan Penerbit Universiti.  Peranan utama beliau adalah meningkatkan tahap keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan dan bertanggungjawab dalam menyediakan Pelan Strategik serta taktikal Pembangunan Pengurusan Pengetahuan di UTeM, sekaligus merangkumi Pengurusan Teknologi Maklumat, Pengurusan Pusat Sumber Rujukan dan Repositori dan Pengurusan Penerbitan.

Berasal daripada Johor Darul Takzim, beliau merupakan bekas pelajar Sekolah Alam Shah, Kuala Lumpur (1980) dan memiliki Diploma Sains Komputer dan Matematik, Universiti Teknologi Mara (UiTM) (1984) serta Ijazah Sains Komputer daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada tahun 1998.

Beliau pernah bertugas sebagai Penolong Pegawai Teknologi Maklumat di Institut Sains Komputer, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) (1985 – 1990); Juruanalisa Komputer di Pusat Komputer, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) (1990 – 1994); Juruanalisa Sistem Kanan/Pengurus Projek Syarikat Bisofware, NSTT, Kuala Lumpur (1994 – 1996); Pengurus Pembangunan Perisian Syarikat Micro House, Johor Bharu (1996 – 1998); IT Freelance (1998 – 2001); Pengarah Pusat Komputer di Kolej Universiti Teknikal Melaka (KUTKM) (2001 – 2010) dan pernah menjawat jawatan Pengarah Pusat Komputer di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) (2010 – 2015).

Berpengalaman dan berkemahiran dalam merancang dan mengurus projek-projek pembangunan dan penyelenggaraan sistem maklumat di UTeM (Sistem Maklumat Pelajar (SMP), Sistem Maklumat Sumber Manusia (SMSM), Sistem Maklumat Kewangan Bersepadu (SMKB), Sistem Maklumat Pengajian Siswazah (SMPS), Sistem Maklumat Penyelidikan Universiti (URIS). Selain dari merancang dan mengurus projek dalaman, beliau juga merupakan salah seorang ahli Jawatankuasa ICT Kementerian dari tahun 2012 sehingga sekarang dan juga berperanan sebagai salah seorang Lembaga Pengarah Neraca Niaga Sdn. Bhd, iaitu salah sebuah anak syarikat UTeM, dari tahun 2014 sehingga Mei 2019.  Selain itu, beliau turut menyandang jawatan sebagai Pengerusi Koperasi UTeM semenjak tahun 2006 sehingga awal tahun 2019 dan merupakan Pengerusi bagi Mesyuarat Majlis Pengarah-pengarah ICT IPTA (MAPITA) dari tahun 2011 sehingga kini.

< Slaid pembentangan >

SXDcRAP~

Hello!