PERUTUSAN PENGARAH

 

Ts. MOHD. FAIZAL DAUD
Pengarah
Pusat Pembangunan Maklumat dan Komunikasi (iDEC)
Universiti Putra Malaysia

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera,

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, kita masih diberi kesihatan yang baik bagi melaksanakan amanah dan tugasan yang telah diberikan. Marilah kita bersama-sama untuk terus menaburkan bakti, keringat ke arah peningkatan amalan, kerjaya serta sumbangan kita.

Begitu pantas masa berlalu dan kini kita berada di abad ke-21 yang semakin moden dan pesat dengan teknologi yang semakin pantas. Salah satu inisiatif yang menjadi sebutan dan perlu dipraktikkan di Institusi Pengajian Tinggi adalah Inisiatif Kampus Pintar.

Inisitiatif ini yang menghubungkan institusi pendidikan, industri, kementerian dan masyarakat merupakan teknologi yang dapat merealisasikan pengajaran dan pembelajaran inovatif abad ke-21 melalui Anjakan 7: (Memanfaatkan ICT bagi meningkatkan kualiti pembelajaran di Malaysia). Seiring dengan aspirasi dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang memberikan penekanan terhadap inisiatif Kampus Pintar di Institusi Pendidikan Tinggi, Pusat Pembangunan Maklumat dan Komunikasi (iDEC) berazam untuk menjayakan inisiatif tersebut.

Pusat Pembangunan Maklumat dan Komunikasi telah meletakkan dua (2) KPI bagi Objektif Strategik Matlamat 5 iaitu Meningkatkan Infrastruktur, Perkhidmatan Perpustakaan, Teknologi Maklumat dan Sistem Komunikasi dalam Pelan Strategik Universiti Putra Malaysia 2021-2025. Dengan memfokuskan kepada peningkatan infrastruktur ICT, iDEC berusaha bagi memastikan peningkatan kepada infrastruktur Server dan Storan (Putra®Cloud) serta rangkaian komputer (UPMNet).

Bagi KPI kedua iaitu infostruktur, penekanan telah diberikan untuk projek transformasi Aplikasi Sumber Manusia UPM, perluasan Aplikasi Sokongan PTJ UPM (Putra ASIS) serta transformasi Sistem Maklumat Pelajar UPM (4.0).

Sejajar dengan Pelan Transformasi ICT Universiti Putra Malaysia, pemfokusan iDEC adalah kepada menaiktaraf rangkaian komputer yang dapat menyokong teknologi BYOD, Future Classroom, Putra®Cloud serta memperluaskan liputan rangkaian tanpa wayar di Kampus UPM. IoT, Mobile Applications, Artificial Intellegence, Big Data, Virtual Reality, Augmented Reality merupakan teknologi yang akan disokong dalam projek transformasi infostruktur.

Cabaran Revolusi Industri 4.0 ketika ini selari dengan perkembangan teknologi ICT yang cepat berubah, memberikan inspirasi kepada iDEC UPM untuk merealisasikannya di mana para akademik dan pelajar dapat menerokai amalan terbaik bagaimana budaya ilmu yang menjadi legasi tamadun hebat dan terus menjadi panduan semua. Semoga kejayaan dalam pelaksanaan Pelan Strategik serta Transformasi ICT akan menyemarakkan lagi aktiviti penyelidikan berkaitan pembelajaran dan pengajaran inovatif melalui kolaborasi bersama rakan penyelidik, industri, institusi pendidikan dan komuniti agar dapat meningkatkan kewibawaan Universiti sebagai institusi terkemuka dan dikenali di peringkat antarabangsa.

Akhir sekali, kepada seluruh warga kerja iDEC, marilah kita sama-sama berganding bahu menjalankan tugas dengan ikhlas dan profesional demi memberi perkhidmatan ICT yang terbaik kepada Universiti Putra Malaysia.